Friday, August 10, 2007

Mencabar Definisi Kepimpinan

Berikut adalah sebuah artikel yang ditulis oleh seorang sahabat yang aku petik dari sebuah blog untuk dijadikan pandungan dan renungan. Mampukah kita menjadi seorang pemimpin yang baik dan bertanggungjawab atau sebaliknya. ~ Pejuang-Berjurus

MENCABAR DEFINISI KEPIMPINAN

Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiap seorang daripada kamu adalah penjaga (pemimpin) dan kamu bertanggungjawab terhadap penjagaan kamu (orang yang dipimpin). Imam adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, lelaki itu penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, orang perempuan adalah penjaga (pemimpin) dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, hamba adalah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, dan setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinan kamu”. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, perkataan yang diterjemahkan sebagai pemimpin ialah ‘ra’in’ bermakna ‘penjaga’. Ditafsirkan sebagai pemimpin kerana hadis itu juga menggunakan perkataan ‘mas-ul’ yang membawa makna sebagai ‘bertanggungjawab’ . Jika diamati lebih mendalam, betapa Rasululah s.a.w cuba untuk memberikan makna kepimpinan agar dapat difahami sebaik-baiknya oleh seluruh umat manusia. Dimulakan kata-kata itu dengan ditujukan kepada kita semua dan diakhiri kata-kata itu dengan ditujukan kepada kita semua juga. Diberikan contoh bermula dari seorang imam sehinggalah kepada seorang hamba; contoh yang bermula dari semulia-mulia darjat sehinggalah serendah-rendah darjat di sisi manusia.

Jika dilihat kembali kesemua firman Allah s.w.t dan hadis Rasulullah s.a.w di atas, bukankah kita dapat simpulkan bahawa setiap manusia itu adalah pemimpin. Sekaligus menyanggah pendapat yang mengatakan “leaders are not born” (pemimpin tidak dilahirkan). Berteriaknya seorang bayi yang baru keluar dari rahim seorang ibu itu adalah teriakan seorang pemimpin yang baru dilahirkan ke dunia. Sesungguhnya Allah mencipta dan melahirkan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi, tidak kiralah sama ada anak itu dididik oleh ibu bapanya untuk menjadi pemimpin atau tidak.

Apa kata jika kita ajar mereka dengan definisi baru yang dirumuskan seperti berikut;

“Pemimpin adalah orang yang mempunyai tanggungjawab, menjaga dan melaksanakan tanggungjawab dan bertanggungjawab di atas tanggungjawab- tanggungjawabnya .”

Ketahuilah bahawa sekalipun kita tidak menjadi pemimpin kepada mana-mana organisasi atau pemimpin dalam masyarakat, kita tetap seorang pemimpin. Kita adalah pemimpin kepada diri kita dan setiap anggota-anggotanya. Kita memimpin akal kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita fikir dan putuskan dalam hidup. Kita memimpin hati kita dan bertanggungjawab di atas bisikan-bisikannya. Kita memimpin mata kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita lihat. Kita memimpin telinga kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita dengar. Kita memimpin mulut kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita perkatakan dan apa yang kita makan. Kita memimpin tangan kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita lakukan. Kita memimpin kaki kita dan bertanggungjawab di atas setiap langkah kita. Kita juga adalah pemimpin kepada persekitaran yang kita lalui setiap saat dan bertanggungjawab di atas setiap tindakbalas yang kita berikan. Inilah sikap jika dipraktikkan, akan menjadikan diri seseorang itu lebih bertanggungjawab dan tidak mudah menyalahkan orang lain.

Inilah konsep kepimpinan yang paling asas yang tidak diajarkan dalam mana-mana institusi atau latihan berkaitan kepimpinan. Kita lebih percaya dan menumpukan kepada definisi kepimpinan yang diciptakan oleh pemikir-pemikir barat tanpa ada sedikit pun rasa untuk mengkaji semula akan ketepatannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, inilah yang menjadi salah satu faktor mengapa kita masih gagal membentuk keperibadian terpuji anak-anak warisan kita. Inilah yang menjadi sebab mengapa pemimpin-pemimpin hari ini baik dalam sektor awam, swasta mahupun politik gagal dalam menjalankan tugas-tugas mereka sebagai pemimpin dalam ertikata sebenar.

Mengapa definisi itu penting? Definisi atau takrif merupakan keterangan yang ringkas tetapi jelas tentang makna atau pengertian sesuatu. Jika di peringkat memberikan definisi sudah tersasar dari matlamatnya yang asal, tidak mustahillah jika kita gagal melahirkan pemimpin-pemimpin yang baik.

Definisi-definisi kepimpinan sehingga hari ini banyak mengajar kita bagaimana untuk ‘berpolitik’ dengan orang-orang bawahan. Langsung tidak menekankan sikap pertanggungjawaban (accountability) . Sebagai pemimpin, kita perlu tahu peranan dan tanggungjawab yang telah diberikan. Kemudian, berusaha ke arah melaksanakannya. Seterusnya bersedia untuk bertanggungjawab di atas apa jua tindakan yang terhasil dari setiap keputusan yang dibuat termasuk bersedia untuk menerima hukuman di atas setiap kesilapan.

Seandainya semua ini dilakukan, sudah pasti kita akan menjadi pemimpin yang disegani dan disayangi bukan sahaja oleh orang-orang bawahan tetapi seluruh alam akan mendoakan kesejahteraan kita. Tidak mustahil jika orang-orang bawahan akan bekerja bersama-sama kita dalam mencapai segala matlamat kumpulan atau organisasi tanpa perlu melakukan banyak pemujukan atau paksaan. Tidak perlu untuk kita berhempas-pulas ‘berpolitik’ ke sana ke mari menuruti segala teori kepimpinan yang dikemukakan oleh pemikir-pemikir barat.

Bermula dengan definisi baru inilah, baru kita bercerita tentang kepimpinan dari sudut sosiologi, psikologi dan antropologi. Barulah kita menyentuh darihal fungsi, personaliti pemimpin, set tingkah laku, seni dalam memimpin, proses-proses interaksi dan komunikasi, perhubungan kuasa dan pendayautamaan struktur.

Ketika definisi baru ini dibawa berbincang dengan seorang sahabat, beliau telah berkata, “engkau masih mentah untuk berbicara tentang kepimpinan. Apatah lagi tentang sepak terajang politik.” Saya pun bertanya kepada beliau siapakah pemimpin terbaik yang pernah dilahirkan dalam sejarah dunia. Dengan spontan beliau menjawab, “Nabi Muhammad (s.a.w) lah.” Lantas saya pun mengingatkannya, “kalau tuan terlalu masak atau tinggi ilmunya mengenai kepimpinan atau sepak terajang politik, maka seharusnya tuan juga perlu ikut cara Rasulullah (s.a.w) dan perlu akur kepada setiap kata-katanya.”

No comments: