Tuesday, October 30, 2007

ECER Detik Bersejarah Bagi Kelantan

KEMAJUAN DIKONGSI: Abdullah memukul rebana sambil diperhatikan Nik Aziz ketika melancarkan ECER peringkat Kelantan di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.

Alhamdullillah… Nik Aziz Nik Mat menerima dan menyifatkan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai detik bersejarah dalam kerjasama antara dua pihak bagi membangunkan Kelantan.

Beliau yang mewakili kerajaan negeri bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana ECER dilihat memberi perhatian kepada projek-projek yang dikenalpasti sebagai mustahak untuk dilaksanakan.

Walaupun berbeza dari segi fahaman politik dengan kerajaan Pusat, Nik Aziz menzahirkan komitmen penuh untuk menjayakan segala perancangan ECER untuk Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran, Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Datuk Husam Musa memberi jaminan, kerajaan PAS Kelantan bukan sahaja akan menjayakan projek ECER malah sedia memberikan komitmen 1000% dalam menjayakan projek ini mengikut perancangan.

Monday, October 22, 2007

Luahan Kayveas Mewakili suara 530, 222 ahli PPP

Beliau sedar ada pihak yang melabelnya sebagai mengada-ada dan suka mencari publisiti murahan. Beliau juga sedar ada pihak yang menuduhnya dan PPP sebagai ‘pengacau’ di dalam BN.

“Tapi suara saya itu mewakili semua peringkat ahli PPP yang seramai 530,222 orang”…. Itulah luahan hati Datuk M Kayveas, Presiden PPP baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung parti itu


Berpolitik Secara Matang- Jangan Ambil Pendekatan Popular....

Pemimpin parti komponen BN diingatkan supaya tidak mengambil pendekatan popular sebaliknya berpolitik secara matang dan bertanggungjawab

Ini kerana jika mereka mempunyai pendapat tertentu seperti mahukan lebih banyak kerusi pada pilihan raya, ia perlu dibuat melalui saluran dalaman parti.

Tuntutan dan pendapat sedemikian tidak wajar diutarakan secara terbuka melalui pentas perhimpunan agung parti kerana ia merupakan tindakan mencari populariti dan amat mudah dilakukan.

Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, “Saya langsung tidak bersetuju dengan parti komponen yang buat tuntutan seperti Parti Progresif Penduduk (PPP). Saya nasihatkan, kalau ada pendapat daripada Pemuda PPP yang ingin lebih banyak kerusi, ia boleh dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN atau mesyuarat Exco Pemuda BN. Bukan diutarakan dalam suasana perhimpunan agung yang kita semua tahu suasananya mencari populariti, dia mahu lontar idea-idea yang dapat sambutan dari bawah... memang senang dan kita pun (Pemuda UMNO) boleh buat, ramai orang suka dan akan sambut, tetapi kita sebagai pemimpin perlu matang dan jangan main sentimen tanpa tanggungjawab”.


Jangan Beri Tekanan- PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua parti komponen BN supaya tidak memberi tekanan dalam membuat tuntutan pertambahan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, sebaliknya tuntutan mengenainya perlu melalui saluran yang betul iaitu dengan menghantar permohonan rasmi kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan BN.

Katanya, sejak BN wujud, parti itu mengamalkan muafakat dalam semua perkara termasuk mengenai pengagihan kerusi kepada semua parti komponen.

Beliau turut mengakui sememangnya pihak luar khususnya parti pembangkang mahu melihat BN dalam keadaan berpecah-belah. Justeru beliau mahu semua parti komponen mengelak daripada berkelahi sesama sendiri kerana ia memberi kesan yang tidak baik kepada kestabilan BN.

”Kita mesti bermuafakat dan bekerjasama. Rakyat sendiri tidak suka melihat kita berkelahi kecuali pihak-pihak yang sering menentang kita. Golongan ini mahu melihat kita berpecah belah. BN bukan parti untuk golongan tertentu sebaliknya ia merupakan parti bagi semua golongan tidak kira latar belakang, agama atau status. Siapa kata BN untuk orang kaya sahaja atau untuk golongan atau agama tertentu sahaja. BN adalah milik semua orang. Tertubuhnya BN adalah untuk membela nasib dan masa depan semua lapisan masyarakat tidak kira miskin atau kaya. Sekiranya inilah pegangan BN (parti untuk golongan tertentu) sudah pasti BN akan `lingkup’ dan akhirnya kita akan kalah dalam pilihan raya. Sejak era Perikatan lagi, asas kekuatan BN ialah mendapat sokongan rakyat daripada pelbagai lapisan dan ia telah terbukti dalam setiap pilihan raya. Rakyat yakin dengan kekuatan yang ada pada BN dan oleh itu mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada BN kerana mereka tahu BN mampu memberi kemajuan kepada rakyat dan negara ini”.

Wednesday, October 10, 2007

Pas, DAP Cuba Main Wayang Perkauman

[sumber: www.pemuda.com.my]

Oleh S.A Najmuddin

Kuala Lumpur -- Pas dan DAP hari ini disifatkan cuba menggerakkan kempen berbentuk sentimen perkauman sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Johor, YB Razali Ibrahim berkata dakwaan Pas bahawa DAP lebih menjurus ke arah perkauman adalah kenyataan retorik kerana pada dasarnya kedua-dua parti pembangkang berkenaan menggunakan kaedah politik yang sama.

"Saya melihat mereka ada hubungkait dengan perkara ini. Pas seolah-olah mahu menunjukkan mereka tidak sehaluan dengan DAP, dan begitulah sebaliknya DAP ingin menonjolkan mereka tidak lagi sebulu dengan Pas.

"Hakikatnya matlamat kedua-dua parti ini tetap sama, cuba memancing undi mengikut kaum masing-masing.

"Pengalaman dalam dua pilihan raya umum lalu iaitu pada 1999 dan 2004 telah memberi ilham kepada mereka untuk menggunakan sentimen perkauman bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Kata beliau lagi pada 1999, prestasi DAP merudum setelah mereka menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi pakatan yang dinamakan 'Barisan Alternatif' (BA) dan pada 2004 prestasi mereka pulih semula setelah mereka menarik diri daripada pakatan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas kebimbangan Pas terhadap kecenderungan DAP yang mula menunjukkan elemen-elemen perkauman dalam perjuangan parti itu, terutama sejak kebelakangan ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar seterusnya berkata tidak mustahil Pas dan DAP akan turut memperalatkan parti baru yang ditubuhkan oleh Datuk S Nallakarupan, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) sebagai alat untuk memancing undi kaum India pula.

Mengenai dakwaan politik perkauman hanya diamalkan oleh UMNO dan beberapa parti komponen BN, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Sebaliknya tegas beliau DAP serta rakan sekutu merekalah yang mengamalkan politik perkauman kerana parti pembangkang terbabit hanya bersuara apabila terdapat sesuatu isu yang menyentuh kepentingan mereka dan akan berdiam diri apabila melibatkan kaum lain.

"Sebagai contoh, isu memperkasakan sekolah kebangsaan langsung tidak disentuh oleh DAP tetapi parti-parti komponen BN termasuk MCA dan MIC turut sama memberikan pandangan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan.

"BN adalah sebuah parti yang berasaskan kaum yang mana ianya berdiri di atas prinsip dan bukannya atas kepentingan sesuatu kaum.

"Di dalam BN, jika timbul isu yang melibatkan kaum Cina, kita akan rujuk kepada MCA, jika timbul isu kaum India, kita akan rujuk kepada MIC dan jika timbul isu Melayu, perkara itu akan dirujuk kepada UMNO, begitulah jika timbul isu yang melibatkan parti komponen lain.

"Inilah yang dikatakan berdiri di atas prinsip. Perlu diingat mempertahankan hak bukanlah perkauman kerana mempertahankan hak seperti mepertahankan kedaulatan negara", ujarnya.

Tegas beliau dengan kebijaksanaan serta pemuafakatan jitu di kalangan pemimpin BN telah membawa negara ini terus membangun dan maju serta makmur.

Tahniah Dr. Sheikh Muszaphar Shukor

Dengan iringan doa, perasaan bangga serta kesedaran bahawa tiada lagi perkara mustahil yang tidak dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia, angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor meluncur ke angkasa dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11 tepat pukul 7.21 malam waktu tempatan, semalam.

Tahniah. Semoga selamat pergi dan kembali.