Friday, August 10, 2007

ANGAN-ANGAN MAT JENIN PAS


Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan harapan PAS untuk memenangi 40 kerusi parlimen di seluruh negara sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’.

Melihat senario politik terkini, PAS adalah dalam keadaan amat sukar mengekalkan kedudukannya selepas parti itu tewas di Terengganu pada pilihanraya umum 2004.

Katanya rakyat Terengganu sendiri menolak pimpinan PAS yang hanya mampu bertahan satu penggal apabila rakyatnya memilih Barisan Nasional untuk mentadbir negeri itu.

Mengikut laporan Bernama semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata PAS mahu memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen seluruh negara pada pilihanraya umum akan datang. Tujuannya adalah untuk menggukuhkan parti itu di Dewan Rakyat.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azimi Daim yang disiarkan dalam laman web Pemuda UMNO [www.pemuda.com.my] yang melihat kenyataan PAS yang hanya sekadar mahu memfokuskan untuk memenangi 40 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang membuktikan ketidakyakinan parti itu terhadap penerimaan rakyat terhadap perjuangan menubuhkan negara Islam seperti yang dilaung-laungkan selama ini.

Ternyata laungan Pas yang menyatakan perjuangannya semakin diterima rakyat termasuk bukan Islam satu retorik kosong semata-mata dan ini membuktikan konsep Negara Islam yang diperjuangkan PAS selama ini hanya sekadar mahu memancing undi terutama di kalangan pengundi Melayu sahaja.

Ini juga membuktikan bahawa Pas terpaksa juga bergantung harap kepada rakan-rakan parti pembangkang lain terutama DAP bagi berhadapan BN di kawasan-kawasan yang bukan majoriti pengundi Melayu.

Jelas beliau untuk menubuhkan kerajaan sesebuah parti memerlukan ”simple majority” dengan memenangi sekurang-kurangnya 110 kawasan Parlimen.

Ini bermakna jika Pas memenangi kesemua 40 Parlimen sekalipun Pas hanya mampu menubuhkan sebuah kerajaan campuran. Ini bermakna Pas terpaksa menjalinkan kerjasama dengan DAP, parti yang secara terang-terang menolak perjuangan negara Islam PAS.

Inilah wajah perjuangan pembangkang khususnya PAS. Bagi mereka, prinsip perjuangan sentiasa berubah mengikut tempat dan masa serta mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara. Kita yakin rakyat sudah cukup memahami keadaan ini.

No comments: