Wednesday, August 29, 2007

TAHNIAH !!!


MEREKA LAYAK BERGELAR JUARA... Barisan pemain Malaysia gembira meraikan kejayaan muncul juara Pestabola Merdeka edisi ke-39 di Stadium Shah Alam, malam tadi. Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada 1993, menewaskan Myanmar 3-1.

Monday, August 20, 2007

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !

Lama dah tak merapu kat sini. Sajer-jer, aku nak berehat sekejap dari sebarang aktiviti. Okeylah, buat semua rakyat Malaysia ....


SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE-50 TAHUN

Wednesday, August 15, 2007

Isu Azly Rahman : Aku Janji atau hutang .... ?

Dok sibuk berjuang untuk rakyat, jaga harta rakyat, jaga duit rakyat, jangan korbankan harta rakyat demi kepentingan sendiri .... itu semua dah jadi darah daging perjuangan kita.

Bukan sahaja di pihak kerajaan, malah pembangkang juga dok kata mereka memperjuangkan hak rakyat dan harta benda rakyat.

Aku sedih bila membaca masalah Dr Azly Rahman dan isterinya, Dr Azly Rahman dan Dr Mutiara Mohamad yang dikatakan telah dibuang Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana mereka gagal menandatangani Aku Janji.

Dalam tulisan Lee Ban Chen di malaysiakini, ada menyebut satu petisyen yang ditandatangani oleh 40 profesor/bekas profesor serta pensyarah universiti telah dihantar kepada kerajaan mendesak agar Akujanji Universiti dimansuhkan dan mereka yang telah dipecat kerana enggan menandatangai Akujanji terbabit, termasuk Dr Azly Rahman dan Dr Mutiara Mohamad hendaklah diambil bertugas semula.

Petisyen tersebut menyifatkan ikrar taat setia itu sebagai satu hadangan terhadap perkembangan sihat universiti, kerana ianya menghakis hak asasi kebebasan untuk berpersatuan dan bersuara yang amat penting untuk dilindungi dan diperkuatkan jika negara mahu maju ke hadapan.

Nampaknya gaya penulisannya macam Dr Azly dan isterinya ini penyokong puak pembangkang yang tidak mahu menanda tangani Aku janji berkenaan. Benarkah begitu?

Aku pada awalnya sungguh kecewa dengan tindakan UUM yang menyekat ilmu Dr Azly ini. Tapi sebenarnya, tanggapan awal aku silap sama sekali. Ini kerana bukan Azly dan Mutiara tidak mahu menandatangani aku janji terbabit tetapi sebenarnya beliau telah berhutang dengan UUM sebanyak RM 1.25Juta.

Wow! Kenapa begitu banyak sekali hutang dua insan ini terhadap UUM.....?
Betul ker mereka berhutang dengan UUM atau apa sebenarnya yang berlaku .... aku nak tunggu dan lihat, apa pula jawapan Dr Azly selepas ini?

Kes Pelajar Persenda Negara Patut Jadi Pengajaran - GPMS

Episod seorang pelajar di sebuah universiti di Taiwan yang mempersendakan negara, kerajaan, orang Melayu dan Islam dalam klip video bertajuk Negarakuku harus dijadikan pengajaran supaya tiada lagi pihak memandang remeh isu kaum dan agama.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nardin Awang berkata, generasi muda terutama pelajar di luar negara perlu berfikiran rasional dan mampu memikirkan kesan negatif jika mengguris perasaan sesuatu kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia walaupun berada di luar negara, tidak sepatutnya mencuba sesuatu perkara yang boleh mencetuskan kontroversi semata-mata untuk menunjukkan kreativiti dan bakat,” katanya.

Mohd Nardin berkata, generasi muda memang digalakkan menunjukkan daya kreatif dan bakat masing-masing tetapi bukan membabitkan perkara yang menjejaskan keharmonian kaum.Meng Chee yang menggunakan nama samaran Namewee, menyiarkan klip video lagu Negarakuku di laman web YouTube pertengahan bulan lalu. Lagu rap bahasa Hokkien itu mendakwa masyarakat Cina dipinggirkan, memperlekehkan Melayu, wanita Islam bertudung serta azan Subuh.

Tidak Perlu Perbaharui Kontrak Sosial- Tun M

”Negara akan menanggung akibat buruk sekiranya kita memperbaharui kontrak sosial, kerana kontrak sosial tersebut merupakan asas kepada kemerdekaan negara. Rakyat negara ini tidak perlu memperbaharui kontrak sosial yang dipersetujui bersama sebelum negara mencapai kemerdekaan kerana perjanjian itu sudah mencukupi.

Kalau kontrak sosial itu dikeluarkan, maka tidak ada maknanya lagi kerana ia adalah asas kepada kemerdekaan negara ini. Perjanjian tersebut ada kebaikannya kepada negara dan disebabkan itu juga, rakyat berbilang kaum masih dapat hidup aman dan negara berjaya dibangunkan”
Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenapa perlu hentikan debat lagu Negaraku?

Dari laman web: www.isuhot.com

Utusan Malaysia bertarikh 13 Ogos 2007 menyiarkan satu berita bertajuk "Hentikan segera debat isu Negaraku - Ka Ting". Artikel tersebut mengulas bagaimana Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mahu isu klip video kontroversi yang mempersendakan lagu kebangsaan Negaraku dihentikan segera kerana bimbang ianya boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Beliau juga berkata pihak MCA kini sedang menangani kes itu secara serius bagi mengelakkan ianya menjadi masalah lebih besar sehingga menyinggung perasaan dan sensiviti orang lain.

Apa lagi yang perlu ditangani? Perkara tersebut sudah pun berlaku bak kata pepatah nasi sudah menjadi bubur. Dan ianya bukan sahaja telah menjadi lebih besar malahan menyinggung perasaan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.

Malahan kononnya MCA tidak mahu masyarakat melihat hanya kerana seorang individu, seluruh kaum dicop sebegitu.

Tetapi tindakan menyiarkan lagu tersebut adalah sungguh biadap kerana mempersendakan agama Islam. Jadi apa rasionalnya bahawa si NameWee itu kononnya patriotik dan cintakan negara?

Generasi muda yang cintakan negara dan tanahair tidak akan menjadi sebegitu angkuh dan biadap sehingga sanggup mempersendakan lagu kebangsaan negaranya sendiri.

Hanya kerana orang Melayu selama ini hanya mendiamkan diri dan bertolak-ansur dengan kaum lain, jangan disangka orang Melayu kaum yang lemah kerana sarang tebuan jangan dijolok.

Lagu yang digubah berunsurkan rap dan R & B itu ada juga mempersendakan agama Islam dengan menyamakan azan dengan kokokan ayam.

Jadi apa rasionalnya bahawa ianya tidak menyentuh isu sensitif yang melukakan hati orang lain? Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas agar orang lain tidak sewenang-wenangnya mempermainkan undang-undang negara dan isu sensitif negara kerana jika dibiarkan orang lain akan lebih berani mempermainkan isu-isu tersebut.

Penulis berharap agar pihak berkuasa dapat menghukum Wee Meng Chee, 24, di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Saturday, August 11, 2007

NEGARAKUKU ~ Harian Metro Punca Kontroversi. Bila Namewee Nak Masuk PKR?

Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, tokoh yang sangat tersohor di Malaysia hari ini kerana kehebatannya mengubah lagu Negaraku jadi lagu dia sendiri tetap mengaku tidak bersalah dan menuduhkan akhbar berbahasa Melayu, Harian Metro sebagai punca berlaku kontroversi berhubung isu tersebut.

Tuduhannya terhadap Harian Metro disiarkan dalam laman internet Malaysiakini. Menurutnya, laporan dalam akhbar berkenaan "tidak beretika, subjektif dan mengelirukan" dan telah menimbulkan persepsi negatif terhadapnya di mata masyarakat.

Betul ker Namewee? Anda tidak menghina agama Islam. Tetapi visual yang tersiar dalam video klip tersebut antaranya memaparkan visual orang islam sedang bersembayang yang saudara anggap sebagai hiburan semata-mata.

Adakah itu tidak menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia. Apa tujuan saudara memaparkan visual tersebut dan apa tujuan saudara sebenarnya membuat video klip tersebut yang jelas menghina Malaysia di mata dunia.

Tindakan saudara ini tidak lain tidak bukan umpama ’meletakkan najis di atas peta Malaysia’ sebagaimana yang orang-orang KeADILan buat di luar negara. Memburukkan nama Malaysia di Barat yang bertujuan untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin negara.

Maka tidak hairanlah pemimpin Angkatan Muda Keadilan menyokong tindakan saudara malah AMK Batu Gajah juga bersedia menawarkan bantuan guaman kepada saudara sekiranya dia berdepan dengan masalah dengan pihak berkuasa apabila pulang nanti.

Ini kerana saudara juga salah seorang dari mereka. Mereka dah tawarkan kepada saudara tempat bagi menyertai AMK, mereka telah menyediakan platform untuk saudara untuk menyuarakan keprihatinan saudara yang amat baik untuk negara Malaysia ini.

Apa lagi yang saudara tunggu?

Friday, August 10, 2007

TNB Wajar Jadikan Anak Mangsa Kebakaran Sebagai `Anak Angkat TNB’

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang memohon pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melupuskan bil tertunggak yang ditanggung oleh keluarga arwah Allahyarham Kasmuri Jasman, keluarga yang terlibat dalam tragedi kebakaran rumah di Kampung Tengah, Kluang yang mengorbankan lima nyawa baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Md Jais Sarday berkata, memandangkan orang yang berhutang iaitu Allahyarham Kasmuri Jasman, telahpun meninggal dunia, dan sekiranya pihak TNB tetap berkeras untuk meminta keluarga terutamanya anak-anaknya yang masih menuntut di beberapa IPT awam menjelaskan hutang berjumlah RM 866 tersebut, ia takut akan menjejaskan dan menganggu pelajarannya dengan perkara-perkara kecil tersebut.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Kluang memohon ehsan dari pihak TNB untuk melupuskan hutang tersebut. Sebagai sebuah GLC, TNB melupuskan hutang tersebut sebagai tanggungjawab sosial kepada 4 orang anak yatim piatu ini, kerana jumlah RM 866 itu, adalah satu jumlah yang besar bagi mereka.

Anak-anak ini masih belajar, mereka masih belum mempunyai pendapatan malah bergantung kepada ibu-bapa mereka selama ini. Kini, mereka sudah hilang punca pendapatan, dan kini terpaksa pula tinggal dan bergantung harap dengan datuknya di Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat, Johor. Dpemuda UMNO juga difahamkan bahawa atuknya juga bukan orang senang,” tambahnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Kluang juga mencadangkan kepada pihak TNB untuk mengambil mereka sebagai anak angkat TNB. Mereka ini merupakan pelajar yang pandai dan cerdik, mempunyai masa depan yang cukup cerah.

Pemuda UMNO percaya, jika mereka diberikan peluang dan ruang yang terbaik, mereka boleh menjadi aset penting untuk menjana kecermerlangan di masa hadapan.

ANGAN-ANGAN MAT JENIN PAS


Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan harapan PAS untuk memenangi 40 kerusi parlimen di seluruh negara sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’.

Melihat senario politik terkini, PAS adalah dalam keadaan amat sukar mengekalkan kedudukannya selepas parti itu tewas di Terengganu pada pilihanraya umum 2004.

Katanya rakyat Terengganu sendiri menolak pimpinan PAS yang hanya mampu bertahan satu penggal apabila rakyatnya memilih Barisan Nasional untuk mentadbir negeri itu.

Mengikut laporan Bernama semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata PAS mahu memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen seluruh negara pada pilihanraya umum akan datang. Tujuannya adalah untuk menggukuhkan parti itu di Dewan Rakyat.

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azimi Daim yang disiarkan dalam laman web Pemuda UMNO [www.pemuda.com.my] yang melihat kenyataan PAS yang hanya sekadar mahu memfokuskan untuk memenangi 40 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang membuktikan ketidakyakinan parti itu terhadap penerimaan rakyat terhadap perjuangan menubuhkan negara Islam seperti yang dilaung-laungkan selama ini.

Ternyata laungan Pas yang menyatakan perjuangannya semakin diterima rakyat termasuk bukan Islam satu retorik kosong semata-mata dan ini membuktikan konsep Negara Islam yang diperjuangkan PAS selama ini hanya sekadar mahu memancing undi terutama di kalangan pengundi Melayu sahaja.

Ini juga membuktikan bahawa Pas terpaksa juga bergantung harap kepada rakan-rakan parti pembangkang lain terutama DAP bagi berhadapan BN di kawasan-kawasan yang bukan majoriti pengundi Melayu.

Jelas beliau untuk menubuhkan kerajaan sesebuah parti memerlukan ”simple majority” dengan memenangi sekurang-kurangnya 110 kawasan Parlimen.

Ini bermakna jika Pas memenangi kesemua 40 Parlimen sekalipun Pas hanya mampu menubuhkan sebuah kerajaan campuran. Ini bermakna Pas terpaksa menjalinkan kerjasama dengan DAP, parti yang secara terang-terang menolak perjuangan negara Islam PAS.

Inilah wajah perjuangan pembangkang khususnya PAS. Bagi mereka, prinsip perjuangan sentiasa berubah mengikut tempat dan masa serta mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara. Kita yakin rakyat sudah cukup memahami keadaan ini.

13 Mei - Sebelum & Selepas

Satu lagi yang boleh dikongsi bersama. Aku nak ucapkan tahniah buat Tuan Doc9509 kerana usaha beliau dalam memuat turun buku tersebut. Segala usaha Tuan, amat saya hargai dan saya sanjung tinggi. Semoga Tuan akan terus kekal bersemangat dalam perjuangan Tuan. Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, selagi itulah saya akan menyokong segala usaha yang membawa kebaikan oleh sahabat-sahabat saya~ pejuang-berjurus


Assalammualaikum
Sape nak tahu sejarah 13 Mei sepertimana diceritakan oleh Tunku Abdul Rahman di dalamnya bukunya bertajuk "13 Mei - Sebelum & Selepas", boleh dimuat turun melalui portal di bawah:

Sila klik kat sini

Terpulang kat korang lah camana nak download. Sama ada dgn kaedah 'copy-paste' ker, guna software 'offline explorer' ker atau 'surfoffline'. Tp saya menggalakkan agar anak2 Melayu khususnya yg berada dlm GPMS semua peringkat dapat simpan, baca dan hayati sejarah nih utk menyemarakkan semangat mengapa kita berjuang utk org2 Melayu.

Setelah baca habis buku tuh, kaitkan plak dgn ayat2 di bawah. Kemudian, kaitkan plak dgn senario hari ini dan kaitkan lg dgn ayat2 di bwh. Selamat berjuang anak2 Melayu.

Surah At-Taubah, ayat 12-14,

"Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat)."

"Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya) , jika betul kamu orang-orang yang beriman?"

"Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman."

Mencabar Definisi Kepimpinan

Berikut adalah sebuah artikel yang ditulis oleh seorang sahabat yang aku petik dari sebuah blog untuk dijadikan pandungan dan renungan. Mampukah kita menjadi seorang pemimpin yang baik dan bertanggungjawab atau sebaliknya. ~ Pejuang-Berjurus

MENCABAR DEFINISI KEPIMPINAN

Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiap seorang daripada kamu adalah penjaga (pemimpin) dan kamu bertanggungjawab terhadap penjagaan kamu (orang yang dipimpin). Imam adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, lelaki itu penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, orang perempuan adalah penjaga (pemimpin) dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, hamba adalah penjaga harta tuannya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, dan setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab kepada pimpinan kamu”. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, perkataan yang diterjemahkan sebagai pemimpin ialah ‘ra’in’ bermakna ‘penjaga’. Ditafsirkan sebagai pemimpin kerana hadis itu juga menggunakan perkataan ‘mas-ul’ yang membawa makna sebagai ‘bertanggungjawab’ . Jika diamati lebih mendalam, betapa Rasululah s.a.w cuba untuk memberikan makna kepimpinan agar dapat difahami sebaik-baiknya oleh seluruh umat manusia. Dimulakan kata-kata itu dengan ditujukan kepada kita semua dan diakhiri kata-kata itu dengan ditujukan kepada kita semua juga. Diberikan contoh bermula dari seorang imam sehinggalah kepada seorang hamba; contoh yang bermula dari semulia-mulia darjat sehinggalah serendah-rendah darjat di sisi manusia.

Jika dilihat kembali kesemua firman Allah s.w.t dan hadis Rasulullah s.a.w di atas, bukankah kita dapat simpulkan bahawa setiap manusia itu adalah pemimpin. Sekaligus menyanggah pendapat yang mengatakan “leaders are not born” (pemimpin tidak dilahirkan). Berteriaknya seorang bayi yang baru keluar dari rahim seorang ibu itu adalah teriakan seorang pemimpin yang baru dilahirkan ke dunia. Sesungguhnya Allah mencipta dan melahirkan manusia itu sebagai khalifah di muka bumi, tidak kiralah sama ada anak itu dididik oleh ibu bapanya untuk menjadi pemimpin atau tidak.

Apa kata jika kita ajar mereka dengan definisi baru yang dirumuskan seperti berikut;

“Pemimpin adalah orang yang mempunyai tanggungjawab, menjaga dan melaksanakan tanggungjawab dan bertanggungjawab di atas tanggungjawab- tanggungjawabnya .”

Ketahuilah bahawa sekalipun kita tidak menjadi pemimpin kepada mana-mana organisasi atau pemimpin dalam masyarakat, kita tetap seorang pemimpin. Kita adalah pemimpin kepada diri kita dan setiap anggota-anggotanya. Kita memimpin akal kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita fikir dan putuskan dalam hidup. Kita memimpin hati kita dan bertanggungjawab di atas bisikan-bisikannya. Kita memimpin mata kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita lihat. Kita memimpin telinga kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita dengar. Kita memimpin mulut kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita perkatakan dan apa yang kita makan. Kita memimpin tangan kita dan bertanggungjawab di atas apa yang kita lakukan. Kita memimpin kaki kita dan bertanggungjawab di atas setiap langkah kita. Kita juga adalah pemimpin kepada persekitaran yang kita lalui setiap saat dan bertanggungjawab di atas setiap tindakbalas yang kita berikan. Inilah sikap jika dipraktikkan, akan menjadikan diri seseorang itu lebih bertanggungjawab dan tidak mudah menyalahkan orang lain.

Inilah konsep kepimpinan yang paling asas yang tidak diajarkan dalam mana-mana institusi atau latihan berkaitan kepimpinan. Kita lebih percaya dan menumpukan kepada definisi kepimpinan yang diciptakan oleh pemikir-pemikir barat tanpa ada sedikit pun rasa untuk mengkaji semula akan ketepatannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, inilah yang menjadi salah satu faktor mengapa kita masih gagal membentuk keperibadian terpuji anak-anak warisan kita. Inilah yang menjadi sebab mengapa pemimpin-pemimpin hari ini baik dalam sektor awam, swasta mahupun politik gagal dalam menjalankan tugas-tugas mereka sebagai pemimpin dalam ertikata sebenar.

Mengapa definisi itu penting? Definisi atau takrif merupakan keterangan yang ringkas tetapi jelas tentang makna atau pengertian sesuatu. Jika di peringkat memberikan definisi sudah tersasar dari matlamatnya yang asal, tidak mustahillah jika kita gagal melahirkan pemimpin-pemimpin yang baik.

Definisi-definisi kepimpinan sehingga hari ini banyak mengajar kita bagaimana untuk ‘berpolitik’ dengan orang-orang bawahan. Langsung tidak menekankan sikap pertanggungjawaban (accountability) . Sebagai pemimpin, kita perlu tahu peranan dan tanggungjawab yang telah diberikan. Kemudian, berusaha ke arah melaksanakannya. Seterusnya bersedia untuk bertanggungjawab di atas apa jua tindakan yang terhasil dari setiap keputusan yang dibuat termasuk bersedia untuk menerima hukuman di atas setiap kesilapan.

Seandainya semua ini dilakukan, sudah pasti kita akan menjadi pemimpin yang disegani dan disayangi bukan sahaja oleh orang-orang bawahan tetapi seluruh alam akan mendoakan kesejahteraan kita. Tidak mustahil jika orang-orang bawahan akan bekerja bersama-sama kita dalam mencapai segala matlamat kumpulan atau organisasi tanpa perlu melakukan banyak pemujukan atau paksaan. Tidak perlu untuk kita berhempas-pulas ‘berpolitik’ ke sana ke mari menuruti segala teori kepimpinan yang dikemukakan oleh pemikir-pemikir barat.

Bermula dengan definisi baru inilah, baru kita bercerita tentang kepimpinan dari sudut sosiologi, psikologi dan antropologi. Barulah kita menyentuh darihal fungsi, personaliti pemimpin, set tingkah laku, seni dalam memimpin, proses-proses interaksi dan komunikasi, perhubungan kuasa dan pendayautamaan struktur.

Ketika definisi baru ini dibawa berbincang dengan seorang sahabat, beliau telah berkata, “engkau masih mentah untuk berbicara tentang kepimpinan. Apatah lagi tentang sepak terajang politik.” Saya pun bertanya kepada beliau siapakah pemimpin terbaik yang pernah dilahirkan dalam sejarah dunia. Dengan spontan beliau menjawab, “Nabi Muhammad (s.a.w) lah.” Lantas saya pun mengingatkannya, “kalau tuan terlalu masak atau tinggi ilmunya mengenai kepimpinan atau sepak terajang politik, maka seharusnya tuan juga perlu ikut cara Rasulullah (s.a.w) dan perlu akur kepada setiap kata-katanya.”

Monday, August 6, 2007

CUKUPLAH DATIN SHARIFAH MAZLINA !!!

Aduhai sayang seribu kali sayang. Kita mati-matilah percaya bahawa Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (SM) telah mencipta kejayaan sebagai wanita pertama menjelajah kutub Utara dan Selatan …. Tetapi sebaliknya.

Aku yakin Sharifah Mazlina telah berjaya dalam ekspedisi awalnya, menjelajah Kutub Selatan pada April 2004 yang lalu tetapi untuk ekspedisi keduanya ke Kutub Utara, benarkah beliau berjaya dalam ekspedisinya tersebut.

Dalam ekspedisi pertamanya, beliau ada mengatakan akan membuat kajian ilmiah, tetapi mana kajian tersebut. Apakah hasilnya, apakah kesannya kepada kajian tersebut?

Bukannya aku nak dengki dan iri hati kejayaannya. Sebagai anak Merdeka, aku bangga ada anak Malaysia yang segagah dan sekuat Sharifah Mazlina, tetapi apa yang aku kesalkan, ada suara-suara sumbang yang mengatakan beliau sebenarnya telah menipu Rakyat Malaysia yang kononnya beliau berjaya dalam ekspedisi keduanya di Kutub Utara.

Kalau benarlah apa yang aku dengar ini, aku cukup sedih. Keadaan cuaca di Kutub Utara ketika ekspedisi keduanya cukup teruk malah ketika dan waktu yang sama, ada satu lagi XPDC yang melibatkan rakyat Malaysia iaitu XPDC Terjun Kutub Utara oleh pasukan Putera UMNO.

”Cuba lu fikir logik, budak-budak Putera nak terjun pun kena halang, cuaca ribut teruk... si Mazlina plak boleh berjalan merentasi ribut salji yang dashyat tu,”.... begitulah cerita kawan aku tu.

Ketika itu, ada wartawan Malaysia yang turut bersama dalam XPDC Putera tersebut, malah dengarnya ketika SM kononnya berjaya dalam `jelajah’nya, kumpulan Putera UMNO dan geng-geng wartawan ini hendak menyambut SM namun beliau tidak mahu disambut malah tidak mahu liputan dari pihak media.

Malah gambar-gambarnya yang keluar di Majalah 3 juga khabarnya gambar ’reshoot’ di sebuah pulau .... ’informer’ aku ada sebut nama pulau ini tapi lupa plak, yang jauhnya kira-kira 1200km dari tempat asal XPDC SM ini.

Khabarnya, SM juga tidak mahu membawa jurugambar dan pengiring-pengiringnya dari Malaysia. Tetapi membawa jurugambar dan pengiring ’mat saleh’ agar senang di’control’nya.

Persoalannya, benar atau tidak SM berjaya dalam XPDC keduanya, cukuplah sekadar di situ. Ini kerana dalam Utusan Malaysia 6 Ogos 2007, SM nak sahut cabaran menyeberangi Greenland pula pada tahun 2011 pula.

Cabaran ekspedisi ’International Polar Explorer Trans Greendland 2011’ itu adalah bersempena memperingati 100 tahun Roald Emundsen menjadi manusia pertama menyeberangi Antartika pada 1911.

Cukuplah Sharifah Mazlina. Ramai lagi anak-anak Malaysia yang perlukan bantuan, bantuan makanan dan bantuan kewangan untuk meneruskan hidup. Awak plak boleh bersenang-senang kat luar buat XPDC yang ntah apa-apa ntah.

Peranan Ulama Dalam Kemerdekaan.

Apakah peranan para Ulama dalam perjuangan kemerdekaan?

Apakah sumbangan parti politik pembangkang (PAS) dalam perjuangan ini?

Siapakah antara mereka yang sebenarnya menentang penjajah?

Siapa pula yang sebenarnya menjadi talibarut penjajah?

Anda dijemput untuk mendengar sendiri jawapan jawapan tersebut di:

KOLOKIUM PAS DAN 50 TAHUN MERDEKA.

Tarikh : Sabtu, 11 Ogos 2007
Masa : 9 pagi
Tempat : Pejabat PAS, Taman Melewar, Gombak

Panelist:
1) Prof Madya Dr Latif Ibrahim
2) Sdr Hanipa Maidin
3) Sdr Fadli Ghani

Sunday, August 5, 2007

Sketsa Politik `PKR-DAP-PAS’

PKR AKAN BERKUBUR?

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin meramalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berkubur selepas pilihan raya umum ke-12 kerana sememangnya mereka sudah lemah dan keadaannya seperti nyawa-nyawa ikan berikutan banyak orang kuatnya telah meninggalkan parti selain mengalami kekalahan dalam pilihan raya kecil.

PKR yang kini hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen Permatang Pauh memang sudah tidak diterima pengundi, justeru pilihan raya akan datang menjadi medan terakhir perjuangan parti itu.

Mereka akan cuba bangkit buat kali terakhir pada pilihan raya umum akan datang.


BENARKAH DAP TIDAK AKAN BEKERJASAMA DENGAN PAS?

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pendirian DAP yang enggan bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang adalah muktamad.

Namun tegasnya, pucuk pimpinan DAP hanya bersetuju pakatan diadakan antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menentang kerajaan memerintah Barisan Nasional (BN).

”DAP tidak berhasrat bergabung dengan Pas tetapi akan meneruskan kerjasama dengan PKR dalam pilihan raya umum nanti. Langkah itu lebih berkesan”.

Pada Disember 2004, DAP dengan tegas mengisytiharkan ia menolak kerjasama dengan PAS. Mengulas mengenai pengagihan kerusi DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, Guan Eng memberitahu, perkara itu masih dibincangkan.



~ mampukah mereka bersandiwara lagi. Benarkah mereka tidak akan bekerjasama untuk menumbangkan kerajaan BN. Kalau benar, baguslah tetapi jangan sampai menipu rakyat dan pengundi lagi.

Orang politik, macam itulah. Depan kata tak bekerjasama, tapi di belakang PAS-DAP-PKR tetap mengadakan kerjasama erat : Tujuannya hanya satu iaitu menumbangkan kerajaan BN. Bukannya untuk berkhidmat untuk rakyat. Tapi bagi aku, tibalah masanya untuk PKR dan PAS bergabung untuk menjadi lebih kuat, sekurang-kurangnya mampu untuk menyaingi BN di masa hadapan. Itupun sekadar cadanganlah. ~ Akulah PB.

Friday, August 3, 2007

KHAIRY JAMALUDDIN ~ KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA



SIAP SEDIA: Khairy menunjukkan gelang getah yang ditulis‘PEMUDA BN SEDIA GEMPUR’


Hari ini aku sibuk sikit. Banyak kerja yang nak diselesaikan, malah banyak juga urusan peribadi yang tertanngguh sejak kebelakangan ini terpaksa diselesaikan juga pada hari ini. Dalam kesibukan selesaikan ‘kerja yang tak sudah tu’, aku ketinggalan gamaknya mengenai satu berita yang keluar di Berita Harian hari ini.

Aku di tegur seorang sahabat ketika sedang minum dengan nada yang marah-marah…. Menurutnya, dia TAK SUKA membaca satu berita di akhbar BH hari ini yang bertajuk ‘Perak calon Khairy jika Hishammuddin undur’.

Aku masih tertanya-tanya, mana salahnya kenyataan tersebut. Rupanya ’sahabat’ aku nie tak gemar bila ada orang yang cuba membuat ’suasana tidak baik dalam politik’ seperti tindakan Pemuda Umno Perak yang akan mencalonkan Khairy Jamaluddin atau lebih mesra dengan panggilan KJ sebagai Ketua Pemuda jika penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan untuk tidak mengekalkan jawatan itu pada pemilihan akan datang.

Tambahnya, sahabat aku laaa.... yang buat kenyataan tersebut bukannya Ketua Pemuda UMNO Perak atau ahli-ahli Pemuda tetapi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Apa tujuan beliau membuat kenyataan tersebut? Kalau benarlah Pemuda yang akan calonkan KJ, kenapa bukan Zainol Padli yang cakap, bukannya MB.

Tambah sahabat aku lagi, yang membuatnya jelek dengan kenyataan tersebut ialah Umno negeri Perak melihat Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda sebagai anak muda yang akan menjadi wira bangsa dan mengangkat martabat Melayu.

Bagi aku .... apa salahnya kalau KJ nak jadi Ketua Pemuda UMNO, nak jadi wira bangsa dalam mengangkat martabat Melayu. KJ ada pendidikan, ada wawasan tetapi kenapa sahabat aku nie ’bengkek’ semacam jer nie.

Rupa-rupanya ..... dia tak suka kenyataan tersebut kerana kenyataan tersebut ada unsur-unsur BODEK. Unsur-unsur nak play safe. Pilihanraya dah nak dekat, Tajol Rosli takut hilang kerusi MB.

Kenyataan sebegitu juga macam menampakkan bahawa Datuk Seri Hishammuddin bukanlah seorang WIRA bangsa yang boleh mengangkat martabat bangsa. Sudah 3 penggal termasuk 1 penggal sebagai pemangku, Datuk Hisham macam tak buat apa-apa demi kebaikan dan survival bangsa Melayu. Macamlah Exco-Exco yang ada hari nie bukan pejuang bangsa, malah mereka yang terdahulu meninggalkan alam Pemuda ...bukan seorang pejuang bangsa.

Kalau macam tu, MT yang ada pada hari ini ialah ’empty’. Bukan pejuang bangsa. Hanya KJ sahaja WIRA yang boleh angkat martabat bangsa dan mengemilangkan bangsa Melayu.

Wow!!! Cukup panas telinga aku hari ini mendengar bebelan si sahabat yang menyinga semacam jer nie.

Mungkin ada betul kata sahabat aku nie, dalam keadaan pada hari ini, aku bersetuju sangatlah agar semua pemimpin dan ahli-ahli UMNO melupakan dahulu soal pemilihan parti. Pemilihan parti.... isu kedua.

Yang paling penting ialah PILIHANRAYA UMUM. Tak guna kita menang bergaya dalam pemilihan parti kalau BN tidak menang bergaya dalam pilihanraya umum nanti.

Ehhh! Aku cakap nie macam aku nie penyokong BN plak. Sepanjang hidup aku berpuluh-puluh tahun ini, tak pernah sekali pun aku turun mengundi. Memangkah mana-mana parti.

Aku biarkan sahabat aku dengan bermacam-macam ramalan dan andaiannya. Bukan malas melayan, tetapi aku juga cuba memikirkan kesan dari apa yang sahabat aku katakan dan kesan kenyataan Datuk Tajol Rosli tersebut.

Bagi aku, siapa sahaja yang jadi Ketua Pemuda UMNO akan datang, akan jadi pewaris perjuangan bangsa. Khairy ada kebolehan dan kewibawaannya, dan calon-calon lain yang dikatakan juga akan bertanding dalam pemilihan Ketua Pemuda akan datang, juga ada keistimewaan mereka tersendiri.

Paling penting, PILIHANRAYA UMUM. Paling penting, siapa sahaja jadi pemimpin aku, pemimpin Malaysia.... aku tak kisah asalkan kita terus hidup di Malaysia dalam keadaan aman dan damai. Bebas dan merdeka di bumi sendiri.

Selamat Menyambut Ulangtahun Malaysia ke 50 tahun......