Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melarang
penerbitan majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah
‘Allah’ dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu selepas merumuskan
penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan
agama Kristian.
Bagaimanapun, Pengarang majalah Herald-The Catholic
Weekly, Paderi Lawrence Andrew kemudiannya secara biadab telah membuat
kenyataan bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah
Allah dalam perhimpunan mingguannya.
Kenyataan Andrew bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Rayuan,
malahan turut bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris
Shah pada 14 Disember lalu.
Sultan Sharafuddin antara lain menegaskan, semua rakyat, khasnya
di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang, perlu akur dan patuh
terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam seperti yang
tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam
(Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Hari ini, kemelut kalimah ‘Allah’ menjadi semakin rumit apabila
Bible Society Malaysia (BSM) pula bertindak membelakangkan mahkamah dan menderhaka
titah Sultan dengan terus mengedar Bible Melayu dengan nama ‘Allah’ di
dalamnya. Akibatnya, premis BSM telah diserbu oleh JAIS dan bible
tersebut dirampas.
Kejadian ini digunakan sepenuhnya oleh pihak Kristian untuk
menimbulkan gambaran buruk terhadap JAIS, Islam dan juga kerajaan walaupun apa
yang berlaku ialah pihak mereka yang sebenarnya melanggar undang-undang.
Setiap negara ada undang-undang dan setiap rakyat wajib akur
kepada undang-undang. Undang-undang dibuat bagi memastikan keadaan
berada dalam keadaan terkawal, selain menegakkan keadilan. Apabila
ada pihak yang dengan sengaja melanggar dan tidak menghormati undang-undang
maka keadaan akan menjadi huru-hara dan negara mampu menjadi tidak
stabil.
Manusia yang bertamadun tidak punya masalah untuk patuh kepada
undang-undang biarpun kadangkala mereka merasakan yang ia tidak menepati
citarasanya. Dalam negara demokrasi, biarpun semua golongan punya
hak masing-masing, namun kehendak majoriti wajib diutamakan. Ini
adalah keadilan mengikut sistem demokrasi.
Apa yang pelik ialah pihak yang begitu lantang memperjuangkan
demokrasi di Malaysia enggan menerima hakikat ini, iaitu kehendak majoriti
adalah lebih utama dari minoriti. Pada hari ini, mereka ini berjuang
bermati-matian untuk membela tindakan 9% penganut Kristian mencabar
undang-undang negara serta kehendak majoriti rakyat. Hujah mereka,
mereka hanya memperjuangkan kebebasan beragama atas nama demokrasi.
Namun hipokrasi mereka terserlah apabila dalam mereka berhujah
bahawa nama Tuhan bukan satu isu besar kerana semua agama merujuk kepada Tuhan
yang sama, mereka berdegil ingin menggunakan nama ‘Allah’ juga bagi Injil
berbahasa Melayu. Kenapa tidak digunakan saja nama lain jika bagi
mereka ia bukan satu isu?
Jelas, pihak pembela Kristian ini tidak faham bahawa dalam sistem
demokrasi, kebebasan dan hak sesiapa jua tidak harus mengatasi
undang-undang. Apatah lagi apabila undang-undang itu ternyata
tidak pernah menimbulkan masalah, dan terbukti menjadi kunci keamanan dan kestabilan
negara.
Tidak cukup dengan mencabar majoriti dan membelakangkan
undang-undang, mereka mencerca pula pihak yang menang di
mahkamah. Kemudian, mereka mempermainkan pula pihak berkuasa serta
‘memijak-mijak’ kepala DYMM Sultan seolah-olah Institusi DiRaja dan semua
institusi penguatkuasaan di Malaysia tidak bermakna.
Bagaikan manusia ‘barbarian’ mereka memakai undang-undang rimba
iaitu sekadar mengikut ‘kepala otak’ sendiri.
Sekiranya manusia tidak bertamadun ini tidak dikawal, kita khuatir
yang negara mungkin akan huru-hara. Justeru, kita mendesak agar tindakan
diambil segera ke atas mereka yang menghina mahmakah.
Kes Kalimah Allah telah pun diputuskan di mahkamah dan adalah di
bawah bidangkuasa hakim untuk menghukum mereka yang melanggar
keputusannya. Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, seseorang itu boleh dikenakan hukuman (penjara
atau denda) jika sabit kesalahan 'menghina mahkamah' (contempt of court)
apabila ia mempunyai kecenderungan (tendency) untuk campur tangan,
menggugat atau mengganggu proses pentadbiran keadilan (interfere with the
administration of justice).
Dalam kes ini, pihak Kristian, terutama Paderi Lawrence Andrew dan BSM
telah secara jelas dan sengaja, mencabar dan melanggar keputusan
mahkamah.
Oleh itu, melihat dari kekusutan yang telah mereka cetuskan, adalah
tidak wajar sekiranya tiada tindakan dikenakan ke atas mereka. Kita
bimbang jika mahkamah terus menerus melayan karenah pihak yang tidak bertamadun
ini, maka integrasi mahkamah juga akan turut dipertikaikan.
Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai negara yang tidak bertamadun
juga kerana tidak mampu menegakkan undang-undang dan mempertahankan keputusan
mahkamah. Kita juga tidak rela titah Sultan diperlekeh oleh
warganegara Malaysia sendiri tanpa apa-apa tindakan dikenakan terhadap
mereka.
Semakin lama perkara ini berlarutan semakin ternampak seolah-olah
Malaysia berada dalam keadaan hilang kawalan.
No comments:
Post a Comment