Laporan
penyingkiran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi antara topik hangat yang
diperkatakan ketika ini. Ada yang mengatakan keretakan hubungan antara Azmin
dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah merupakan punca
kepada pemecatan itu.
Malah
tidak kurang juga yang mengatakan, ia adalah merupakan antara usaha Khalid
untuk memastikan pengaruh politik Azmin dapat dikurangkan. Azmin ketika
dihubungi bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu, mengesahkan telah
pun menerima surat mengenainya.
Walau
bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, sebaliknya
menyatakan akan membuat pengumuman mengenainya pada mesyuarat lembaga pengarah
PKNS yang akan dipengerusikan oleh Khalid, 20 Januari ini.
Polemik
perebutan kuasa antara Azmin dan Khalid bukanlah perkara yang asing khususnya
di kalangan penyokong kedua-dua belah pihak. Malah Azmin sebelum ini
dilaporkan sering mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim melibatkan beberapa isu tertentu.
Kali
terakhir Azmin mengkritik pentadbiran Abdul Khalid ialah pada 28 November lalu
apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun
anggota pentadbiran Selangor antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari
2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.
Malah,
sebelum itu, Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri
Selangor dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada
Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan
pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun,
difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010
lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR
Selangor daripada Abdul Khalid.
Di
kalangan penyokong Azmin, mereka merasakan Menteri Besar Selangor itu dilihat sebagai
lemah dan tidak layak untuk menerajui kerajaan negeri. Manakala di pihak Khalid
pula, mereka melihat Azmin sebagai pengacau kerana cuba memonopoli kepimpinan
PKR.
Mungkin
disebabkan faktor itu juga, Khalid baru-baru ini ada membayangkan akan turut
bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu dalam pemilihan PKR Mei
ini. Sekiranya tiada calon lain yang berminat untuk menawarkan diri,
pertandingan itu bakal menjadi medan penentu bagi mengukur kekuatan antara
mereka.
Walaupun
ada yang mengatakan Azmin tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk
kekal sebagai Timbalan Presiden, namun faktor sokongan Wan Azizah tidak boleh
dipandang ringan. Ini kerana Wan Azizah juga mempunyai ramai penyokong setia
yang jelas tidak berkenan dengan watak dan peribadi Azmin.
Malah
ketika PKR berdepan dengan kemelut untuk melantik Menteri Besar Selangor,
‘suara’ Azizah ternyata berjaya untuk menyingkirkan Azmin. Walaupun menurut
sumber, Anwar sebelum ini telah bersetuju dan berjanji untuk melantik ‘anak emasnya’
itu bagi menggantikan Khalid.
Persoalannya
apakah pemecatan ini disebabkan Azmin memang tidak layak atau sememangnya wujud
campur tangan pihak tertentu untuk menyingkirkannya?
No comments:
Post a Comment