Thursday, July 26, 2007

KEISTIMEWAAN MELAYU hanyalah 'JARING KESELAMATAN' yang bersifat sementara;

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah memberi ingatan kepada Orang Melayu bahawa mereka perlu sedar bahawa perlindungan dan keistimewaan yang diberi oleh kerajaan untuk memajukan ekonomi mereka, terutamanya dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), hanyalah "jaring keselamatan" yang bersifat sementara.

Jaring keselamatan itu disediakan oleh kerajaan agar orang Melayu tidak jatuh tersembam dalam perjalanan hidup. Orang Melayu perlu cepat belajar agar tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan seumpamanya.

Untuk maju, mereka tak boleh bergantung kepada jaring itu selama-lamanya. Mereka mesti ke depan mengatur langkah sendiri untuk naik setinggi-tingginya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Syarahan Za'ba 2007.

Tengku Razaleigh dalam ucapannya bertajuk "Pembangunan Ekonomi Melayu dan Perpaduan" berkata, hambatan global melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu tidak lagi bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Katanya DEB, yang merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan dan mengangkat martabat orang Melayu dalam masa singkat, juga dilihat sebagai telah melindungi negara daripada terjebak ke dalam perbalahan kaum sewaktu krisis kewangan 1997.

No comments: