Tuesday, July 31, 2007

Media salah tafsir @ kenyataan politik : Mana satu yang betul nie Datuk Kayveas?

Mana satu yang betul nie, semalam di akhbar Berita Harian, Kayveas kata yang media tersalah tafsir ucapannya hingga timbul isu bahawa Presiden PPP, Datuk M Kayveas akan membawa keluar PPP dari BN sekiranya permintaan mereka mendapat tambahan kerusi pada pilihanraya umum akan datang tidak dipenuhi.

Tapi hari nie pula, dalam akhbar Utusan Malaysia, sekali lagi Kayveas mengeluarkan kenyataan mengelirukan….. kenyataannya berhubung isu keluar BN jika tambahan kerusi pada pilihan raya umum akan datang tidak dipenuhi hanyalah satu kenyataan politik.

Beliau menegaskan, kenyataan itu dibuat tanpa niat mengugut atau kata dua. Katanya, ahli PPP mengharapkan beliau melakukan sesuatu agar parti itu diberi peluang lebih adil dalam pilihan raya kerana ia bukan lagi sebuah parti yang kecil. Menurutnya, desakan ini sebenarnya cukup kuat dan mereka mahu beliau selaku Presiden yang sudah 14 tahun memimpin parti melakukan sesuatu.

Pada aku, tak salah kalau PPP atau Kayveas sendiri menyatakan permintaan untuk pertambahan kerusi pilihanraya atau apa-apa sahaja, tetapi biarlah permintaan tersebut dibuat atas platform yang betul.

BN juga merupakan sebuah parti yang besar, bermula dari Perikatan hinggalah Barisan Nasional hari ini, banyak perkembangan dan perubahan yang telah dilakukan.

Dalam BN sendiri ada Dewan Teringginya, yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia.

30 hari lagi, genaplah Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke-50 tahun.

Tetapi sebagai seorang pemimpin yang bersama dalam mengisi kemerdekaan negqra dan terlibat sendiri dalam kabinet Malaysia, Kayveas tidak tahu bahawa ada platform yang betul dan tepat untuk menyuarakan hasrat, pendirian atau cadangan bagi mewakili partinya yang merupakan kompenan Barisan Nasional.

Tapi…. Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan tidak sehaluan ini, menunjukkan bahawa Kayveas benar-benar ikhlas dalam perjuangan atau media sekali lagi dipersalahkan memutar-belitkan atau salah tafsir kenyataannya.

Tunggu pula esok, apa pula kenyataannya?

Sehubungan dengan itu, aku bersetuju sangat dengan pendirian dan kenyataan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang mencadangkan agar mereka terutamanya pemimpin parti kompenan BN yang mencabar dan mempersoalkan prinsip kesepakatan BN mesti dihadapkan ke lembaga tindakan disiplin sebagai pengajaran kepada orang lain.

Tambahnya, prinsip kesepakatan serta persefahaman BN tidak boleh dipersoalkan kerana dipersetujui dan difahami semua pihak. Individu yang mempersoal dan mencabar prinsip ini boleh disingkir daripada parti atau dihukum mengikut budi bicara pucuk pimpinan kerana ia membabitkan imej parti.

BN selama ini tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak tetapi tindakan menggunakan saluran luar untuk menyuarakan pandangan adalah tidak baik untuk parti.

Monday, July 30, 2007

GEN2 Sedan- diharapkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Proton


Kayveas nafi ugut~ `media yang salah tafsir ucapannya’

Setelah beberapa hari timbul isu Presiden PPP, Datuk M Kayveas akan membawa keluar PPP dari BN sekiranya permintaan mereka mendapat tambahan kerusi pada pilihanraya umum akan datang, dan semalam beliau mencadangkan pula nama Pengerusi PPP Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof untuk diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, hari ni Kayveas tampil sekali lagi ……. Beliau menafikan laporan-laporan bahawa beliau mengugut untuk keluar BN sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi BN.

Tambahnya, beliau tidak pernah mengancam atau menyatakan sedemikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun PPP ke-54 di Johor Baru baru-baru ini. Dakwa beliau, media yang tersalah tafsir ucapannya.

Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO berkata, pemimpin parti komponen BN yang sering mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan tidak perlu dikekalkan dalam BN kerana mereka tidak ikhlas dalam perjuangan.

Malah kalau Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas boleh meninggalkan BN jika beliau terus mendesak BN memenuhi permintaan PPP untuk mendapatkan kerusi baru pada pilihan raya umum akan datang.

Mereka menganggap kenyataan Kayveas mengenai kemungkinan PPP keluar BN seolah-olah mencabar kepimpinan tertinggi BN dan tidak menghormati Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan pemimpin nombor satu Negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Kayveas ingin membawa PPP meninggalkan BN. Menurut beliau, Kayveas harus berterima kasih kepada BN kerana memberikan beliau kerusi Parlimen Taiping pada pilihan raya umum 2004 dan sebagai pemimpin parti komponen, Kayveas seharusnya membantu BN dan bukannya menyusahkan parti.

Kini, dengan penafian dari Kayveas, diharapkan dapat menjernihkan keadaan meredakan situasi politik dalam kompenan BN. Ini kerana, pilihanraya umum semakin dekat…. Tidak kira BN ataupun pembangkang, masing-masing sedang merangka strategi untuk menang dalam pilihanraya umum nanti.

Tapi yang lebih penting, tidak kira siapa yang menang…. Pastikan kemenangan tersebut merupakan kemenangan rakyat. Jangan menyusahkan rakyat. Berjuang dan berbaktilah kepada rakyat, bukannya untuk kepuasan diri sendiri.

Sunday, July 29, 2007

SUSULAN KES GURU CABUL MURID

Susulan kes seorang pelajar perempuan di Jitra, Kedah yang mendakwa dicabul kehormatan oleh seorang guru lelaki di sekolahnya, kini mangsa mengalami tekanan perasaan. Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, beliau sering diganggu oleh guru terbabit di sekolah.

Kakak mangsa Norhayati Shamsul berkata: “Adiknya yang berusi 16 tahun mengalami trauma dan sering murung serta berubah dari seorang yang periang kepada seorang yang pendiam dan suka memencilkan diri. Menurut beliau adiknya merupakan anak keempat dari 6 beradik kini takut untuk ke sekolah dan keluar rumah”.

Kini, kepada siapa yang harus kita persalahkan? Bagi aku, tiada siapa lagi yang boleh kita persalahkan, perkara sudah terjadi. Oleh yang demikian, Kementerian Pelajaran harus mengambil langkah tegas terhadap guru terbabit atau mana-mana pihak yang terlibat dalam kes sedemikian.

Namun, satu kajian dan siasatan terhadap kedua-dua belah pihak, benarkah pelajar tersebut benar-benar dicabul atau ia hanya satu tindakan untuk menutup kesalahan lain.... dalam erti kata lain, guru tersebut hanya dijadikan kambing hitam untuk menutup kesalahannya, begitu juga sebaliknya.

Kalau benar guru terbabit melakukan perbuatan tersebut.... dia harus dikenakan tindakan tegas. Kini bukan masa untuk main-main lagi. Bukan masa untuk melindungi mereka yang bersalah. Yang salah tetap salah walau diselindungkan.


Jaminan Kementerian Pelajaran:
~ Tidak berkompromi terhadap kes guru cabul murid.


Komen Menteri Pelajaran, Dato’ Sri Hishammuddin Hussein: "Dalam hal ini kita tak kompromi dan Dato’ Noh telah diamanahkan. Dan Dato’ Noh tahu dalam hal ini, saya cukup serius. Kita buat siasatan dan tindakan dan kita tak memilih bulu dan ada saluran yang saya telah wujudkan sebelum ini. Gunakan saluran yang ada dengan sebaik mungkin".

KAYVEAS BUKAN UGUT TAPI MENGUGUT BN

Nampak gayanya Kayveas sudah mula tunjuk taring. Kalau BN tak penuhi kehendaknya, PPP akan keluar BN. Adakah ini senario baru dalam politik kompenan BN untuk mengugut BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Pak Lah..... gua nak BN jangan layan kehendak Kayveas. Ini bukannya untuk kepentingan bersama dalam BN tetapi kehendak dan nafsu peribadi M Kayveas untuk meletakkan dirinya sebatgai ’Hero’ dalam PPP.

Menurut ’hero PPP’ ini, kalau BN tidak memenuhi permintaan mereka untuk mendapatkan kerusi baru dalam pilihanraya umum akan datang, mereka (PPP) akan keluar BN dan Kayveas akan membentuk partinya itu sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tetapi bukan parti pembangkang.

Kepala hotak dia bukan parti pembangkang. Adakah keluar BN dan tidak bersetuju dengan tindakan BN hanya meletakkan mereka sebagai ’bukan pembangkang’.

”Saya bukan mengugut tetapi kita ada perjanjian PPP dengan UMNO pada 1969 mengenai perkara ini iaitu antara Allahyarham Tun Razak dengan mendiang pengasas PPP, Dr. Senivasagam,” katanya selepas menghadiri majlis ulang tahun ke-54 parti.

Kayveas berkata, parti itu juga akan menuntut semula daripada BN supaya mengembalikan empat kerusi Parlimen, 12 kerusi negeri, 79 kerusi majlis dan jawatan Datuk Bandar Ipoh ke tangan PPP. PPP minta empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi negeri. Kalau kurang daripada itu, mereka boleh terima asalkan ada tambahan kerusi baru untuk PPP.

Tetapi pada pilihan raya umum 2004, PPP meraih kerusi tunggal iaitu Parlimen Taiping menerusi Kayveas tetapi gagal memenangi satu lagi kerusi di Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar. Bagi dua kerusi pun masih belum dapat membuktikan kekuatan mereka, apatah lagi nak bagi 4 kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN. Mangkuk hayun punya Kayveas.

Oleh itu, gua nak sarankanlah kepada BN yang diterajui oleh UMNO, sudah tiba masanya orang seperti Kayveas ini diketepikan sama sekali. Dia takde dalam BN pun tidak mendatangkan kesan besar dalam persefahaman dan perpaduan sesama kompenan BN.

Kayveas..... lu bukan ugut BN tapi sebenarnya lu menGUGUT BN. Lu ada agenda peribadi, bukannya agenda rakyat seperti mana yang diperjuangkan BN selama ini.

Selamat tinggal M Kayveas ¡!!.

GURU DURJANA: `harapkan pagar, pagar makan padi’

Apa dah jadi nie, ‘harapkan pagar, pagar makan padi.’ Inilah perumpamaan yang sesuai ditujukan buat sorang ‘guru durjana’ di Kubang Pasu yang dilaporkan mencabul anak muridnya di sebuah Sekolah Menengah di Jitra, Kedah.

Guru ini dilaporkan mencabul murid tingkatan 4 itu di bilik lukisan sekolahnya. Ini yang aku bengang nie, buat penat jer mempertahan tindakan guru yang menggenakan hukuman denda terhadap muridnya, ini lain pula jadinya.

Aku harap, Kementerian Pelajaran kenalah memandang masalah ini sebagai masalah yang serius. Ia boleh memburukkan profesion perguruan.

Perbuatan sumbang itu didakwa berlaku antara jam 11.30-12.30 tengahari rabu lalu. Mangsa dipanggil guru lelaki terbabit ke bilik lukisan di sekolah berkenaan kononnya untuk membincangkan sesuatu hal.

Namun sebaik memasuki bilik lukisan terbabit, guru berusia 40-an itu mengunci pintu bilik. Ia disusuli beberapa perbuatan biadap dilakukan oleh guru berkenaan. Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya dan kemudian membuat laporan polis di Kubang Pasu.

Persoalannya sekarang, apakah bentuk hukuman yang harus dijatuhkan kepada guru terbabit. Takkan nak biarkan masalah ini daripada terus berlaku. Yang buruknya, warga pendidik juga. `Jangan hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelangga’.

Friday, July 27, 2007

SIAPA KETUA PEMUDA UMNO YANG DIREMAN ?

GEMPAR- Ketua Pemuda UMNO direman.

Berita inilah yang menjadi antara kandungan Berita Buletin Utama TV3 malam tadi. (27 Julai 2007)

Ia memaparkan berita mengenai seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Selangor yang juga Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang direman atas pertuduhan memiliki senjata api tanpa lesen di Mahkamah Majistret Ampang.

Majistret Normah Zaida Ahmad mengarahkan tertuduh direman selama lima hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api 1960. Lelaki berkenaan ditahan 19 Julai lalu di Bukit Indah, Ampang kerana memiliki sepucuk pistol jenis Beretta.

Dia turut disiasat BPR Selangor kerana dipercayai menerima komisen daripada beberapa syarikat pembersihan dan pengurusan pepejal di kawasan pentadbiran terbabit. Bagaimanapun dia dibebaskan BPR semalam selepas menahannya tujuh hari lalu.

Lelaki berkenaan dipercayai mengunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi PBT serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk mendapatkan kontrak kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal bagi syarikat milik rakan-rakannya.

Persoalannya .... siapakah beliau?

Benarkah beliau menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi PBT serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk mendapatkan kontrak kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal bagi syarikat milik rakan-rakannya?

Adakah beliau benar-benar bersalah ataupun beliau sebenarnya mangsa konspirasi? ..........
Kita tunggu dan lihat !!!

Thursday, July 26, 2007

KEISTIMEWAAN MELAYU hanyalah 'JARING KESELAMATAN' yang bersifat sementara;

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah memberi ingatan kepada Orang Melayu bahawa mereka perlu sedar bahawa perlindungan dan keistimewaan yang diberi oleh kerajaan untuk memajukan ekonomi mereka, terutamanya dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), hanyalah "jaring keselamatan" yang bersifat sementara.

Jaring keselamatan itu disediakan oleh kerajaan agar orang Melayu tidak jatuh tersembam dalam perjalanan hidup. Orang Melayu perlu cepat belajar agar tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan seumpamanya.

Untuk maju, mereka tak boleh bergantung kepada jaring itu selama-lamanya. Mereka mesti ke depan mengatur langkah sendiri untuk naik setinggi-tingginya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Syarahan Za'ba 2007.

Tengku Razaleigh dalam ucapannya bertajuk "Pembangunan Ekonomi Melayu dan Perpaduan" berkata, hambatan global melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu tidak lagi bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Katanya DEB, yang merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan dan mengangkat martabat orang Melayu dalam masa singkat, juga dilihat sebagai telah melindungi negara daripada terjebak ke dalam perbalahan kaum sewaktu krisis kewangan 1997.

Wednesday, July 25, 2007

Siapa Pejuang Berjurus?

Aku orang baru …. Yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan di dalam UMNO mahupun di pihak pembangkang.

Tujuan aku buka blog nie, sekadar suka-suka bagi menyuarakan pandangan aku sebagai orang muda, sebagai seorang anak merdeka yang mempunyai hak untuk bersuara.

Nak bersuara dalam suratkhabar atau televisyen.... siapa aku. Oleh yang demikian, biarlah aku bersuara di sini.

Niat aku hanya satu.... aku nak terus merdeka di atas muka bumi ini. Kepada abang-abang dan kakak-kakak yang lebih senior dalam bidang penulisan dan kewartawan.... tidak kiralah di akhbar, televisyen mahupun laman web dan blog nie, bagilah aku tunjuk ajar, bagilah aku bimbingan supapa aku boleh menilai kembali pandangan dan penulisan aku untuk kebaikan diriku juga.

Aku gembira, tidak lama lagi aku dan seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan tanahair kita. 50 tahun kita sudah merdeka, adakah dalam tempoh tersebut, kita benar-benar merdeka atau kita hakikatnya masih terjajah lagi.

Sejak akhir-akhir ini, banyak perkara dan kejadian yang berlaku yang menunjukkan bahawa kita belum merdeka. Minda kita masih terjajah.

Aku nak ambil contoh.... kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Kuching, Sarawak apabila seorang warden telah merendam 200 pelajarnya ke dalam kolam sebagai hukuman kerana membuang tuala wanita yang telah digunakan ke dalam mangkuk tandas.

Gila ke warden tu. Takkan kesalahan kecil yang dilakukan, malah tak tahu pun siapa yang membuang tuala wanita tersebut, 200 pelajarnya di ’humban’ ke dalam kolam. Apalah nasib pelajar tersebut.

Tapi kita jangan cepat melatah. Adakah benar warden tersebut bersalah menggenakan hukuman sedemikian. Bagi aku, cikgu atau warden tersebut tidak bersalah, 200 pelajar yang direndam juga tidak bersalah, yang bersalah ialah orang yang mempunyai kepentingan ’merakam dan menghebaohkan’ kejadian tersebut tanpa usul-periksa. Ada agenda peribadi!!

Cikgu itu tidak bersalah menghukum ...... kerana apa yang dilakukan ialah bertujuan untuk mendidik.... menjaga kebersihan diri dan sekolah. Kalau tidak diajar dan dididik dari sekolah.... iatulah yang terjadi sekarang.

Berapa ramai yang suka membuang sampah merata-rata sedangkan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan telah menyediakan tong sampah untuk digunakan.

200 pelajar tersebut juga tidak bersalah, kerana tuala tu ada satu sahaja sedangkan yang dihukum ialah 199 orang, itupun kalau salah seorang dari mereka yang membuang tuala tersebut. Tapi katakan kalau pekerja atau petugas ataupun orang luar yang membuang tuala wanita tersebut..... siapa yang harus kita persalahkan.

Oleh yang demikian, janganlah cepat sangat kita menuding jari menyalahkan guru mengenakan hukuman kepada pelajar, percayalah tindakan mereka adalah untuk mendidik, jauh sekali untuk mencacatkan atau memalukan pelajar-pelajar mereka, anak-anak mereka juga.

Langkah kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran meminda Peraturan-peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 bagi mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap murid bermasalah, ada baik dan buruknya.

Seorang sahabat aku ada memberikan pandangannya ~ beliau khuatir jika pelbagai undang-undang dan tekanan yang dikenakan ke atas guru-guru, mood dan motivasi guru akan terjejas untuk membantu para pelajar yang masalah tersebut untuk melonjakkan diri mereka keluar dari masalah disiplin yang membelenggu pelajar terbabit.

Mungkin ada kebenarannya, kerana sahabat aku nie beristerikan seorang guru juga. Peranan guru-guru ialah merintis jalan kejayaan kepada anak-anak muridnya dan terpulang kepada para pelajarnya untuk memilih yang mana intan yang mana kaca.... adakah ilmu yang telah diberikan mampu meletakkan pelajar itu di tempatnya atau sekadar melepak di tebing-tebing sungai (kalau kat KL, ramai doktor yang lepak kat tepi sungai Gombak tepi Sogo) menjalankan aktiviti harian mereka.

Aku anak Melayu, aku tidak berpendidikan tinggi tetapi aku tetap menghargai jasa dan tunjuk ajar guru-guruku kerana menjadikan aku seorang `orang’ hari ini. Aku tidak mampu melaksanakan harapan besar untuk meletakkan bangsaku dan negaraku, ke tahap yang lebih cemerlang, tetapi alhamdulillah, aku boleh berbakti kepada kedua orang tuaku, kepada keluargaku.

Tuesday, July 24, 2007

Warisan

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni, abadi, sejati

Di sini, tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

Andaiku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harus ku bawakan
Kemana ku semaikan
Cinta ini

Betapa di bumi ini ku melangkah
Ke utara, selatan, timur dan barat
Kujejaki

Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin, kotakan seribu janji
Sepanjang, kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan .......