Monday, October 13, 2008

PERALIHAN KUASA – Kepentingan Akar Umbi Kepentingan Pak Lah

Keputusan Pak Lah dalam proses peralihan kepimpinan baru-baru ini secara jelas menunjukkan bahawa beliau bukan sebagaimana yang didakwa selama ini iaitu seorang yang ingin kekal berkuasa. Beliau telah sudi mendengar suara akar umbi dan ini membuktikan bahawa jiwanya terhadap UMNO cukup tinggi. Walau apa pun keadaannya yang lebih penting sekarang ialah kita sudah mengetahui keputusannya, maka yang perlu diutamakan selepas ini ialah kekuatan seluruh ahli parti dan rakyat untuk menghadapi episod mutakhir politik tanah air ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Seri hishammuddin Hussein berkata, secara jelas, kematangan, kebijakan, dan ketelusan serta keikhlasan adalah amat dituntut dalam keadaan seperti ini. Setiap ahli parti daripada semua peringkat harus berlapang dada dan berusaha merasionalkan pemikiran dan tindakan masing-masing. Kita bukan berada dalam zon perang atau pun pilihan raya. Kita hanya berada dalam situasi untuk mencari pendekatan terbaik bagi memastikan proses peralihan kuasa dapat dijayakan sepenuhnya.

”Dalam tempoh beberapa bulan ini juga saya cukup kagum dgn kesabaran, ketabahan, kematangan dan pegangan Dato' Seri Najib yang meletakkan kepentingan parti sebagai satu keutamaan dalam menghadapi senario semasa kepimpinan politik tanah air. Daya penghormatan dan kesetiaannya kepada Presiden parti dalam menghadapi saat-saat getir kepimpinan parti memang tidak wajar dipertikaikan oleh sesiapapun.

Di dalam hal ini, ternyata, Dato' Seri Najib telah meletakkan nilai dan tradisi UMNO melebihi daripada segala kepentingan. Kesediaan beliau yang secara terbuka dan menghormati kehendak akar umbi serta kepimpinan parti adalah merupakan satu kriteria utama sebagai pemimpin utama negara dan parti. Sekaligus ini membuktikan bahawa amalan, budaya dan nilai parti UMNO masih lagi segar dan erat dijunjung. Dari segi kepimpinan politik, seharusnya cara Dato Seri Najib ini wajar menjadi satu teladan terutama kepada pemimpin-pemimpin muda yang sedang menawarkan diri bertanding di semua peringkat sempena mesyuarat-mesyuarat bahagian. Perebutan jawatan di semua peringkat janganlah hendaknya menjadikan parti yang di warisi ini tak padu,” ujarnya yang juga Menteri Pelajaran Malaysia.

Dato' Seri Najib sememangnya mampu memikul tanggungjawab, amanah dan tugas yang telah diberikan. Pengalaman beliau bermula daripada menjadi pemimpin peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa seperti UNESCO perlu menjadi asas kepada rakyat untuk memberi peluang dan bersama membantu mengurus negara dengan cemerlang.

Selain itu, penglibatan beliau secara menyeluruh di pelbagai peringkat parti UMNO dan BN sebelum ini juga perlu dijadikan sandaran oleh kita untuk yakin sepenuhnya dengan kemampuan beliau untuk membuat tranformasi dalam UMNO dan BN. Sudah pasti beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk melakukan perubahan secara lebih struktural, strategikal dan sistematik untuk UMNO dan BN. Ini juga adalah demi untuk menarik semula sokongan rakyat kepada kerajaan.

”Adalah menjadi harapan saya juga, cara, pendekatan dan proses peralihan kepimpinan yang berlaku antara Pak Lah dan Dato' Seri Najib dapat menjadi pengajaran dan panduan yang berguna kepada semua supaya parti lebih padu, kuat dan utuh pada masa yang akan datang. Keikhlasan Dato' Seri Najib untuk meneruskan agenda negara yang sedia ada adalah suatu yang positif dan wajar dicontohi. Saya tahu Dato' Seri Najib cukup bijak dalam menghayati semua agenda negara yang telah diketengahkan oleh Presiden parti selama ini.

Saya juga yakin bahawa pelantikan Dato' Seri Najib ini akan diterima sepenuhnya oleh semua pihak sama ada oleh komuniti di kampung, bandar, profesional, politik dan juga tidak terkecuali komuniti pelabur tempatan dan antarabangsa. Secara peribadi, saya akan terus memberikan sokongan kepada Pak Lah dan meletakkan sepenuh harapan kepada Dato' Seri Najib untuk merencanakan agenda ekonomi, politik dan sosial yang terbaik untuk negara”.

Monday, October 6, 2008

MENCARI NAIB PRESIDEN UMNO

Siapakah Naib Presiden pilihan perwakilan, Mac nie. Jika sebelum ini, betapa ramainya calon yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding, kini mungkin nama-nama seperti Dato’ Zahid Hamidi, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Dato’ Seri Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bolehlah dikeluarkan sekejap dari senarai calon Naib Presiden UMNO.

Tinjauan rambang dan hasil perbualan di kedai-kedai kopi bertaraf `lima bintang’ – (Starbuck, Coffee Bean dan Riverside PWTC) – ramai yang mahukan pemilihan Naib Presiden kali ini, hasil penilaian ahli-ahli dengan penuh kematangan berdasarkan beberapa faktor yang dialami oleh UMNO pada hari ini.

Ada pendapat mengatakan, pemilihan Mac ini, ahli-ahli UMNO terutamanya perwakilan akan mengambil kira personaliti dan ketokohan calon-calon. Apatah lagi UMNO hari ini sedang berada di persimpangan untuk benar-benar melahirkan tokoh-tokoh yang berwibawa dan dapat meneruskan kepimpinan UMNO di alaf baru, di hari mendung menanti hujan buat UMNO dan Barisan Nasional.

”UMNO memerlukan tokoh-tokoh yang mampu menyuarakan hasrat dan citarasa ahli-ahli yang baru. UMNO tidak memerlukan pemimpin yang yes man, yes bos. Berdasarkan faktor-faktor ini, pemilihan kali ini akan berpegang pada siapa yang benar-benar dianggap tokoh yang berwibawa dan tulen semangatnya dalam UMNO”- pandangan seorang sahabat yang sudah lama memerhatikan gelagat UMNO tetapi baru memohon menjadi ahli selepas PRU 12 yang lalu.

Hakikatnya, dalam arus politik sekarang, UMNO perlu barisan kepimpinan yang matang, bersih, berwibawa, berketrampilan dan berani bersuara bagi mengembalikan semangat perjuangan dan memantapkan barisan kepimpinan UMNO.

Siapakah yang memenuhi ciri-ciri itu?....

Saturday, October 4, 2008

MUKHRIZ

Aku sokong Dato’ Mukhriz untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Disember ini.

Aku bukannya kenal sangat dengan Mukhriz tapi sebagai penyokong Pak Lah satu ketika dulu, aku kagum dengan Pak Lah dan berharap Pak Lah akan jadi pemimpin yang hebat sebagaimana Tun M sebelum ini…. Namun aku kecewa disebabkan kekurangan Pak Lah dalam mentadbir UMNO dan kerajaan selepas Pilihan Raya umum ke 11.

Sehinggalah BN menghadapi krisis yang amat teruk ketika PRU12, yang menyaksikan BN hilang 6 buah negeri, dan hilang 2/3 kerusi Parlimen.

Salah Pak Lah ke… bukan salah Pak Lah tapi terus terang aku katakan segala krisis yang melanda UMNO dan BN sejak PRU11 ialah sikap menantu Pak Lah, YB Khairy Jamaluddin yang juga merupakan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia bersama Dato Mukhriz.

Kini dengan membawa slogan ‘Berani Berubah’…. Mukhriz merupakan pilihan terbaik untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Tidak sebagaimana KJ, yang membawa slogan ‘Setiakawan’.

Apapun, KJ dan Mukhriz masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Begitu juga dua calon lain, Dato’ Seri Khir Toyo dan Dato’ Zahidi…. Namun sebagai ahli Pemuda di peringkat bawahan ini, aku berdoa agar pemilihan ini tidak akan membawa perpecahan kepada Pemuda UMNO, kerana yang akan menjadi mangsa kelak… UMNO itu sendiri.

Aku berharap….siapa yang menang sekalipun, kita akan sokong sepenuhnya, demi membawa perubahan kepada UMNO, demi memberikan semula kekuatan kepada UMNO, agar UMNO terus relevan sepanjang hayat, relevan dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan Negara.