Friday, November 16, 2007

Gelombang Kuning : Kebangkitan Rakyat Atau Agenda Anwar Ibrahim

Ab Jalil Backer [www.pemuda.com.my]

Ada ahli UMNO kerana marahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, menulis menghalalkan perarakan Gelombang Kuning. Mereka menulis perarakan gelombang kuning yang membabitkan puluhan ribu rakyat atas jalan raya di Kuala Lumpur manifestasi kemarahan rakyat kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Marahkan nyamuk bakar kelambu. Jangan terpedaya dengan helah pembangkang dan anasir anti Melayu ini.

Ada apa dengan perarakan Gelombang Kuning? Jangan tertipu dengan alasan menuntut pilihan raya bersih? Pilihan raya negara ini sentiasa bersih dan telus.

Jika ada penyelewengan Mahkamah pula akan memastikan keadilan ditegakkan. Kerajaan pernah kalah di Mahkamah pilihan raya. Demikian juga pembangkang.

Agenda Anwar

Gelombang kuning tidak lebih daripada agenda Anwar Ibrahim. Anwar sudah terbiasa berusaha meraih populariti dan kuasa melalui gerakan jalanan.

Jika Demontrasi Baling tahun 70-an beliau membina imej dan pengaruh dalam gerakan pelajar, demontrasi 1998 pula ada usaha beliau menunjukkan bahawa pengaruh dan kuasa masih kuat dan belum luntur.

Demontrasi 2007 sekali lagi ditandai oleh kemunculan Anwar. Biarpun mereka mendakwa Bersih dan Gelombang Kuning dianjurkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) namun siapakh di sebalik Bersih ini?

Bukankah sebahagian besar merupakan penggerak jentera anwar suatu ketika dahulu?

Antara penggerak utama Bersih ialah Ezam Mohamad Nor dan Anuar Tahir. Kedua-dua mereka merupakan orang kuat Anwar sejak dulu, kini dan selamanya.

Pakaikanlah apa baju dan lambang pun ke atas dua manusia ini pastinya baunya tetap Anwar bin Ibrahim.

Selain itu, antara NGO yang terbabit ialah ALIRAN, sebuah NGO yang diketahui umum merupakan alat parti DAP.

Senarai panjang NGO yang terbabit semuanya diketahui umum telah ditubuhkan sejak dahulu untuk meneruskan agenda politik pembangkang. Justeru, ada apa dengan gelombang kuning kononnya manifestasi kebangkitan rakyat?

Menyeru pilihan raya Bersih hanyalah agenda politik murahan Anwar bagi menaikkan semangat penyokongnya dan parti pembangkang lain yang telah lesu dan kehilangan semangat. Anwar mahu membakar semula emosi orang ramai seperti 1998.

Gugat Ekonomi Untuk Jatuhkan BN

Selepas ini apa? Demontrasi demi demontrasi akan terus dianjurkan. Mereka mahu ekonomi negara menjadi makin teruk. Mereka mahu kestabilan tergugat. Mereka mahu rakyat menderita kehilangan peluang perniagaan, masa santai dan hidup dalam keadaan bimbang.

Mereka mahu polis membuang tenaga dan masa mengawasi perhimpunan haram. Ini akan menyebabkan banyak kes jenayah terus berlaku dan kekurangan anggota untuk mengawasinya.

Mereka mahu kerajaan membelanjakan banyak wang untuk mengawal perhimpunan haram dan memperbaiki kerosakan bagi mengurangkan peruntukan kerajaan ke arah lain.

Keseluruhan tujuan mereka hanyalah untuk mencetuskan ketidakstabilan. Hanya ketidakstabilan yang boleh menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. Jika negara terus aman, makmur dan ekonomi berkembang, nescaya BN akan terus menang pilihan raya.

Jadi untuk menang pilihan raya, rakyat perlu menderita dan marah kepada kerajaan.

Justeru, gelombang kuning ini tidak lebih daripada usaha menderitakan rakyat agar Anwar bin Ibrahim boleh jadi Perdana Menteri.

Raja Dipergunakan

Tindakan menggunakan warna kuning (warna diraja), mengadakan demontrasi dan seterusnya menghantar memorandum kepada Tuanku Yang Dipertuan Agong tidak lebih dari usaha untuk memperguna dan memanipulasi institusi beraja negara ini.

Mereka mahu menarik raja-raja ke dalam kancah politik hanya kerana mahu menang pilihan raya. Memang benar mereka sebagai rakyat berhak menghantar memorandum dan pandangan kepada Majlis raja-raja.

Namun dengan mengadakan perarakan haram ke Istana negara dahulu membuktikan bahawa niat mereka bukan sekadar untuk menyampaikan hasrat.

Dengan menggunakan warna kuning bagi menunjukkan kononya sokongan mereka kepada raja-raja Melayu, ia jelas bertujuan melaga-lagakan institusi beraja dengan Eksekutif.

Anwar tidak perlu menjadi jaguh raja-raja kerana beliau antara tokoh yang turut memainkan perubahan Perlembagaan Negara membabitkan raja-raja.

Terdapat juga Pesanan Ringkas (SMS) yang berlegar mendakwa raja-raja Melayu telah mengarahkan satu rejimen Askar Melayu melindungi peserta perhimpunan haram tersebut.

Apakah ini bukan satu tindakan merbahaya kepada negara dan proses demokrasi?

Memang benar Duli Yang Maha Muli Raja-raja tidak mungkin terpengaruh denagn taktik murahan seperti ini.

Namun membiarkan persepsi adanya konflik serius antara eksekutif dengan Raja-raja boleh memberi implikasi negatif kepada keselamatan negara dan kestabilan politik kita.

Pak Lah Harus Bertegas

Pak Lah tidak lagi boleh berlembut dan melihat majoriti masyarakat negara ini diancam ketakutan untuk keluar pada hujung minggu.

Kita juga tidak mahu anasir-anasir menghasut yang sedang dilakukan oleh beberapa NGO dan pemimpin politik terus bebas menghasut tanpa sempadan.

Usaha-usaha mewujudkan kekacauan bukan lagi sekadar menuntut pilihan raya yang bersih. Selain kumpulan ini, terdapat juga ekstremis agama yang melihat keterbukaan kerajaan sebagai alat untuk melanggar undang-undang atas nama agama.

Mereka menghasut, berdemontrasi dan melakukan benteng manusia untuk menghalang pelaksanaan undang-undang dan keputusan mahkamah. Apakah ini boleh diterima oleh majoriti rakyat?

Ada juga yang terus membuat keuntungan dalam penternakan babi tetapi mencemarkan persekitaran dengan begitu teruk.

Undang-undang membenarkan tindakan diambil tetapi kita menangguhkan kononya atas sebab isu sensitif. Mereka ini berani menentang penguatkuasa dan menggunakan tekanan politik.

Apakah ini satu keadaan yang sihat? Jangan sampai orang ramai tidak lagi menghormati undang-undang.

Ketika kita mahukan demokrasi terus subur dalam negara ini, ia tidak harus menjadi alasan untuk mendapat kelebihan hanya kerana kelompok ini sanggup bergaduh dan bergasak untuk menang.

Demokrasi adalah soal kebenaran, keadilan, pemikiran, percambahan idea, penguatkuasaan undang-undang dan pemilihan pentadbiran bukannya soal siapa lebih jantan.

Justeru jika undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dalam sistem demokrasi tidak dihormati, apakah bentuk demokrasi yang mereka perjuangkan?

Negara akan kacau bilau jika kerajaan tidak mula bertindak mempertahankan keluhuran undang-undang. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur.

No comments: