Wednesday, October 10, 2007

Pas, DAP Cuba Main Wayang Perkauman

[sumber: www.pemuda.com.my]

Oleh S.A Najmuddin

Kuala Lumpur -- Pas dan DAP hari ini disifatkan cuba menggerakkan kempen berbentuk sentimen perkauman sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Johor, YB Razali Ibrahim berkata dakwaan Pas bahawa DAP lebih menjurus ke arah perkauman adalah kenyataan retorik kerana pada dasarnya kedua-dua parti pembangkang berkenaan menggunakan kaedah politik yang sama.

"Saya melihat mereka ada hubungkait dengan perkara ini. Pas seolah-olah mahu menunjukkan mereka tidak sehaluan dengan DAP, dan begitulah sebaliknya DAP ingin menonjolkan mereka tidak lagi sebulu dengan Pas.

"Hakikatnya matlamat kedua-dua parti ini tetap sama, cuba memancing undi mengikut kaum masing-masing.

"Pengalaman dalam dua pilihan raya umum lalu iaitu pada 1999 dan 2004 telah memberi ilham kepada mereka untuk menggunakan sentimen perkauman bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Kata beliau lagi pada 1999, prestasi DAP merudum setelah mereka menjalinkan kerjasama dengan Pas menerusi pakatan yang dinamakan 'Barisan Alternatif' (BA) dan pada 2004 prestasi mereka pulih semula setelah mereka menarik diri daripada pakatan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas kebimbangan Pas terhadap kecenderungan DAP yang mula menunjukkan elemen-elemen perkauman dalam perjuangan parti itu, terutama sejak kebelakangan ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar seterusnya berkata tidak mustahil Pas dan DAP akan turut memperalatkan parti baru yang ditubuhkan oleh Datuk S Nallakarupan, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) sebagai alat untuk memancing undi kaum India pula.

Mengenai dakwaan politik perkauman hanya diamalkan oleh UMNO dan beberapa parti komponen BN, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Sebaliknya tegas beliau DAP serta rakan sekutu merekalah yang mengamalkan politik perkauman kerana parti pembangkang terbabit hanya bersuara apabila terdapat sesuatu isu yang menyentuh kepentingan mereka dan akan berdiam diri apabila melibatkan kaum lain.

"Sebagai contoh, isu memperkasakan sekolah kebangsaan langsung tidak disentuh oleh DAP tetapi parti-parti komponen BN termasuk MCA dan MIC turut sama memberikan pandangan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan.

"BN adalah sebuah parti yang berasaskan kaum yang mana ianya berdiri di atas prinsip dan bukannya atas kepentingan sesuatu kaum.

"Di dalam BN, jika timbul isu yang melibatkan kaum Cina, kita akan rujuk kepada MCA, jika timbul isu kaum India, kita akan rujuk kepada MIC dan jika timbul isu Melayu, perkara itu akan dirujuk kepada UMNO, begitulah jika timbul isu yang melibatkan parti komponen lain.

"Inilah yang dikatakan berdiri di atas prinsip. Perlu diingat mempertahankan hak bukanlah perkauman kerana mempertahankan hak seperti mepertahankan kedaulatan negara", ujarnya.

Tegas beliau dengan kebijaksanaan serta pemuafakatan jitu di kalangan pemimpin BN telah membawa negara ini terus membangun dan maju serta makmur.

No comments: